KUANTAN, 6 Mei 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj hari ini berkenan bercemar duli berangkat menyantuni Menteri Kanan Singapura, Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong bersama isteri, Madam Ho Ching serta delegasi Singapura melawat Bengkel Tenun Pahang Diraja, Penjara Penor, di sini.
Lawatan tersebut diadakan bagi memperkenalkan penghasilan kain Tenun Pahang Diraja yang terkenal dengan kehalusan serta keunikan tersendiri, hasil tenunan prospek-prospek yang telah menjalani latihan di bawah bimbingan Paduka Baginda.
Kemahiran yang dimiliki oleh prospek-prospek ini merupakan hasil usaha berterusan Paduka Baginda dalam memperkenalkan pelbagai teknik serta idea, termasuk pengaruh dari dalam dan luar negara, sehingga berjaya melahirkan hasil tenunan yang berkualiti tinggi.
Keberangkatan Paduka Baginda turut diiringi Yang Hormat Mulia Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohamed Moiz.- KESULTANAN PAHANG






