CAMERON HIGHLANDS, 18 Mei 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan bercemar duli berangkat melawat Agropark, Program Dutch Trade Mission to Malaysia di tapak Rumah Hijau Fasa di Tringkap, hari ini.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda disambut oleh pihak pengurusan Agropark serta pegawai-pegawai kanan yang terlibat dalam pembangunan projek pertanian moden berkenaan.
Sepanjang lawatan tersebut, Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku berkenan mendengar taklimat mengenai perkembangan semasa projek berkenaan termasuk inisiatif pertanian mampan yang dilaksanakan menerusi penggunaan teknologi moden dan inovasi dalam sektor pertanian.
Paduka Baginda turut berkenan melawat Rumah Hijau dan kawasan pameran pertanian yang mempamerkan pelbagai hasil tanaman serta teknologi pertanian pintar yang diperkenalkan bagi meningkatkan produktiviti dan kelestarian sektor agro makanan di Cameron Highlands.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku turut meluangkan masa beramah mesra bersama para pengusaha dan kakitangan Agropark serta menzahirkan penghargaan terhadap usaha berterusan dalam memperkukuh pembangunan pertanian moden di negeri Pahang.
Lawatan Paduka Baginda mencerminkan keprihatinan dan sokongan berterusan institusi Kesultanan Pahang terhadap pembangunan sektor pertanian moden dan mampan yang diyakini mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta kesejahteraan rakyat. – KESULTANAN PAHANG







