LIPIS, 17 Jun 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah agar seluruh rakyat menjadikan semangat Maal Hijrah sebagai titik permulaan untuk memperkukuhkan perpaduan ummah, mengangkat budaya kepimpinan beramanah, mempertahankan kedaulatan negara serta membina semula kekuatan akhlak masyarakat.
Paduka Baginda menegaskan bahawa peristiwa hijrah bukan sekadar kisah perpindahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah, sebaliknya merupakan simbol kejayaan menyatukan masyarakat yang berpecah-belah atas dasar iman, persaudaraan dan saling menghormati.
“Kekuatan umat Islam tidak pernah terletak pada jumlahnya semata-mata, tetapi pada kesatuan hatinya. Sebatang lidi mudah dipatahkan, namun apabila dihimpunkan menjadi seikat, ia menjadi kukuh dan sukar dilerai.
“Begitulah hakikat sebuah ummah; apabila bersatu, mereka menjadi kekuatan tetapi apabila berpecah, mereka menjadi mangsa kepada kelemahan sendiri,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi yang berlangsung di Laman Sejahtera Jelai, di sini hari ini.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad serta Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsudin.
Dalam titah di majlis sama, Paduka Baginda menzahirkan kebimbangan terhadap cabaran perpaduan masa kini yang bukan lagi hadir dalam bentuk peperangan atau penjajahan, sebaliknya disebarkan melalui fitnah, kebencian, hasutan dan perbalahan tanpa batas di media sosial.
Titah Paduka Baginda, perbezaan pandangan yang sepatutnya menjadi rahmat sering kali bertukar menjadi permusuhan, manakala perselisihan kecil diperbesar sehingga meretakkan hubungan sesama saudara.
“Lebih malang apabila ada pihak yang sanggup meniup api perpecahan demi kepentingan tertentu. Mereka menjadikan sentimen kaum, agama dan politik sebagai alat untuk meraih sokongan, sedangkan yang menjadi mangsa akhirnya ialah rakyat dan masa depan negara. Bak kata pepatah, “menang sorak, kampung tergadai”.
“Sesungguhnya, perpaduan bukan bermaksud kita semua perlu berfikir dengan cara yang sama. Perpaduan ialah kemampuan untuk berbeza pandangan tanpa bermusuhan, menegur tanpa menghina dan bersaing tanpa meruntuhkan antara satu sama lain,” titah Paduka Baginda.
Sempena Maal Hijrah ini, Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama berhijrah daripada prasangka kepada kepercayaan, daripada perpecahan kepada penyatuan dan daripada kebencian kepada persaudaraan kerana bangsa yang bersatu akan dihormati, manakala bangsa yang berpecah akan mudah diperkotak-katikkan. – KESULTANAN PAHANG






