KUANTAN, 20 Julai 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berkenan bercemar duli berangkat merasmikan Klinik Perubatan Sukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISMEC) serta menyempurnakan penjenamaan semula Unit Reproduktif Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah @UIAM (SASMEC @UIAM) sebagai Tunku Azizah Advanced Reproductive Unit SASMEC @UIAM (TiARA) bersempena sambutan ulang tahun ke-10 SASMEC @UIAM, hari ini.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda disambut oleh Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar; Pengarah Hospital SASMEC @UIAM, Profesor Dato’ Dr. Mohamed Saufi Awang serta barisan pengurusan tertinggi universiti dan hospital.
Turut mengiring ialah Yang Hormat Mulia Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohamed Moiz.
Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda selaku Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bertitah menzahirkan rasa syukur atas pencapaian membanggakan SASMEC @UIAM sepanjang sedekad penubuhannya sehingga berkembang menjadi sebuah hospital pengajar universiti yang unggul berteraskan kecemerlangan, ihsan dan nilai-nilai Islam.
“Pelancaran Klinik Perubatan Sukan UIAM (ISMEC) hari ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha SASMEC @UIAM memperkukuh perkhidmatan penjagaan kesihatan khusus.
“Penubuhannya mencerminkan komitmen berterusan institusi ini dalam menyediakan perkhidmatan perubatan sukan yang komprehensif merangkumi aspek pencegahan, rawatan, rehabilitasi serta peningkatan prestasi, di samping menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat dan aktif,” titah Paduka Baginda.
Menyentuh penjenamaan semula Unit Reproduktif SASMEC @UIAM sebagai Tunku Azizah Advanced Reproductive Unit SASMEC @UIAM (TiARA), Paduka Baginda menzahirkan rasa terharu dan berbesar hati apabila unit tersebut kini menggunakan nama Paduka Baginda.
“Adalah amat bermakna untuk melihat hasrat ini menjadi kenyataan, dan saya menganggapnya bukan sekadar satu penghormatan peribadi, bahkan sebagai satu komitmen bersama dalam memperkasa penjagaan kesihatan reproduktif serta membawa sinar harapan baharu kepada individu dan keluarga dalam perjalanan mereka untuk memperoleh zuriat”.
Paduka Baginda bertitah, kedua-dua inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan SASMEC @UIAM dalam memperkasakan inovasi, kecemerlangan dan penyampaian penjagaan kesihatan secara holistik selaras dengan prinsip Maqasid Syariah serta keperluan masyarakat yang sentiasa berkembang.
Sempena ulang tahun ke-10 SASMEC @UIAM, Paduka Baginda turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga hospital yang terdiri daripada doktor, pakar perubatan, jururawat, profesional kesihatan bersekutu, ahli akademik, penyelidik, pentadbir dan kakitangan sokongan atas dedikasi serta komitmen mereka dalam memperkukuh reputasi institusi itu sebagai pusat kecemerlangan dalam penjagaan pesakit, pendidikan, penyelidikan dan inovasi.
Paduka Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi atas sokongan berterusan terhadap pembangunan SASMEC @UIAM, khususnya melalui kelulusan pembinaan Wad Psikiatri di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-13.
Pada masa sama, Paduka Baginda berharap cadangan meningkatkan kapasiti hospital daripada 300 kepada 600 katil dapat direalisasikan dalam masa terdekat bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan kesihatan khusus, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat Negeri Pahang, Malaysia dan masyarakat antarabangsa.
Dalam titah sama, Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar atas pelantikan semula sebagai Rektor UIAM serta Profesor Dato’ Dr. Mohamed Saufi Awang atas penyambungan pelantikan sebagai Pengarah Hospital SASMEC @UIAM.
Paduka Baginda yakin kepimpinan kedua-dua tokoh berkenaan akan terus menerajui UIAM dan SASMEC @UIAM ke tahap yang lebih cemerlang dalam bidang pendidikan, penyelidikan, inovasi dan perkhidmatan kesihatan.
Pada akhir majlis, Paduka Baginda berkenan merasmikan Klinik Perubatan Sukan UIAM (ISMEC) serta menyempurnakan penjenamaan semula Tunku Azizah Advanced Reproductive Unit SASMEC @UIAM (TiARA)bersempena sambutan ulang tahun ke-10 SASMEC @UIAM. -KESULTANAN PAHANG






