PEKAN, 21 Oktober 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah agar kebajikan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), khususnya berkaitan kemudahan penginapan dan kos sara hidup, diberikan perhatian sewajarnya bagi memastikan mereka dapat menumpukan perhatian kepada pengajian.
Paduka Baginda bertitah, universiti bukan sahaja berperanan menyuburkan ilmu, malah perlu turut memelihara kesejahteraan, kebajikan dan masa depan mahasiswa yang berhadapan pelbagai cabaran, termasuk tekanan kesihatan mental serta persaingan mendapatkan pekerjaan.
“Saya difahamkan bahawa lebih separuh daripada keseluruhan mahasiswa terpaksa mendapatkan penginapan di luar kampus. Keadaan ini sewajarnya diberikan perhatian, lebih-lebih lagi ketika mahasiswa turut berhadapan peningkatan kos kehidupan.
“Saya menghargai usaha UMPSA bersama Majlis Ugama dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dalam membangunkan Kolej Kediaman Mawaddah berkonsepkan wakaf. Inisiatif sebegini wajar diperluas. Saya menyeru Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi, agar memberikan perhatian sewajarnya terhadap pembangunan kolej kediaman, fakulti dan kemudahan sokongan di UMPSA.
“Janganlah kita begitu ghairah menuntut kecemerlangan mahasiswa, sedangkan keperluan asas untuk mereka mencapai kecemerlangan itu masih belum dipenuhi sepenuhnya,” titah Paduka Baginda pada Majlis Pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor UMPSA, di sini, hari ini.
Dalam masa yang sama, Paduka Baginda menegaskan bahawa kemiskinan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada cita-cita dan kecemerlangan pendidikan.
Anak-anak dari kawasan desa, pedalaman, penempatan Orang Asli serta keluarga kurang berkemampuan, titah Paduka Baginda, hendaklah diberikan peluang yang adil untuk menikmati pendidikan tinggi.
Paduka Baginda turut mahu UMPSA memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri, pihak industri, yayasan dan alumni bagi memperluas bantuan pendidikan, penyelidikan serta pembangunan bakat tempatan.
Kepakaran UMPSA dalam bidang teknologi, pembuatan, automotif, logistik dan pertanian moden juga diharap dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan peningkatan taraf hidup masyarakat. – KESULTANAN PAHANG
————









