PEKAN, 21 Oktober 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah agar mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan teknologi, malah turut memiliki integriti, sahsiah terpuji serta kemuliaan budi.
Paduka Baginda bertitah, meskipun UMPSA mencatat pencapaian membanggakan dalam bidang kejuruteraan, teknologi serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), tetapi pembangunan sahsiah dan akhlak tidak boleh diketepikan.
“Ilmu tanpa adab ibarat pelita tanpa cahaya, tinggi ilmunya namun gelap pertimbangannya.
“Saya mahu institusi ini melahirkan bukan sekadar jurutera dan ahli teknologi yang bijaksana, tetapi insan yang amanah, berintegriti dan berjiwa rakyat,” titah Paduka Baginda pada Majlis Pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor UMPSA, di sini, hari ini.
Dalam pada itu Paduka Baginda turut mengingatkan mahasiswa supaya bijak memanfaatkan teknologi dan media sosial serta tidak mudah terpengaruh dengan gelombang perubahan yang amat pantas.
Titah Paduka Baginda, kemajuan teknologi dan media sosial membuka pintu pengetahuan, namun turut membawa arus fitnah, keruntuhan nilai dan kecelaruan pemikiran.
“Janganlah kerana mengejar populariti di alam maya, hilang pertimbangan di alam nyata.
“Janganlah kerana ghairah menyuarakan kebebasan sehingga terlupa akan batas kesopanan, kesusilaan dan tanggungjawab,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap gejala sosial dalam kalangan generasi muda termasuk penyalahgunaan dadah, budaya buli, perjudian digital serta pergaulan yang melampaui batas.
“Lebih mendukacitakan apabila ada segelintir anak muda yang mudah terpengaruh dengan budaya kebencian dan penghinaan terhadap agama serta institusi, seolah-olah keberanian itu diukur melalui kelantangan mencaci dan memperlekehkan orang lain.
“Saya ingin menegaskan bahawa mahasiswa seharusnya menjadi suara kebijaksanaan, bukannya gema kebencian. Beranilah menegur, tetapi beradab ketika berbicara; beranilah berbeza pandangan, tetapi jangan hilang pertimbangan.
“Dalam soal pendidikan, saya tidak mahu budaya mengejar segulung ijazah mengatasi matlamat sebenar menuntut ilmu. Kecerdasan buatan hendaklah dimanfaatkan untuk memperkukuh pemikiran, bukannya dijadikan jalan pintas sehingga mahasiswa semakin malas berfikir, mengkaji dan mencipta.
“Jangan sampai kita melahirkan generasi yang kaya dengan sijil tetapi miskin dengan ilmu, petah berbicara, tetapi tandus pemikiran,” titah Paduka Baginda. – KESULTANAN PAHANG
———-








