KUANTAN, 22 OKTOBER 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menzahirkan rasa bangga dan kekaguman terhadap komitmen Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang dalam memelihara serta memulihara warisan seni, budaya dan sejarah negeri.
Paduka Baginda bertitah, penglibatan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang telah memberikan nafas baharu kepada usaha pemeliharaan warisan negeri, khususnya menerusi penganjuran simposium kebudayaan yang disifatkan mempunyai pengisian mendalam dan bernilai tinggi.
“Saya bangga dengan penglibatan isteri saya, Tengku Ampuan Pahang yang telah memberi nafas baharu dan pengisian yang cukup bernilai dalam menjayakan simposium kebudayaan serta pelbagai usaha pemeliharaan sejarah negeri.
“Saya kagum dengan keupayaan isteri saya. Simposium yang dianjurkan begitu mendalam dan mempunyai banyak isi yang membanggakan,” titah Paduka Baginda ketika berangkat ke Majlis Jamuan Diraja dan Pelancaran Buku Daulat Tuanku sempena Sambutan 50 Tahun Muzium Pahang di Museum of Contemporary Art (MOCA), di sini malam tadi.
Paduka Baginda turut menegaskan kepentingan memberikan pendedahan mengenai sejarah kepada generasi muda, khususnya mahasiswa universiti, supaya mereka mengenali asal usul serta memahami nilai warisan dan sejarah tanah air.
Sementara itu, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang bertitah mengenai perancangan untuk mewujudkan galeri diraja atau galeri warisan di setiap daerah di Pahang, dengan Lipis dikenal pasti sebagai lokasi projek perintis sebagai Galeri Diraja.
Inisiatif berkenaan bertujuan menghimpunkan koleksi bersejarah, hadiah daripada rakyat serta khazanah tempatan untuk dipamerkan kepada masyarakat, sekali gus memperluas akses orang ramai terhadap warisan sejarah dan kebudayaan negeri.
Usaha itu diharap dapat memastikan khazanah warisan Pahang terus dipelihara, dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang. – KESULTANAN PAHANG
————-






