KUALA LUMPUR, 3 November 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menegaskan bahawa nama istana bukan barang dagangan dan gelaran kebesaran bukan lesen untuk meraih keuntungan atau kepentingan peribadi, sebaliknya setiap gelaran membawa amanah serta tanggungjawab yang perlu dipelihara.
Paduka Baginda bertitah memberi teguran tegas kepada seluruh kerabat dan orang besar negeri supaya tidak menyalahgunakan nama, gelaran, kedudukan mahupun hubungan dengan Istana, termasuk mendakwa memperoleh perkenan Paduka Baginda bagi memperdaya pihak tertentu demi kepentingan sendiri.
“Saya ingin menegaskan bahawa nama Istana bukan barang dagangan, gelaran kebesaran bukan lesen mencari keuntungan, dan kemuliaan institusi diraja bukan perisai untuk melindungi kepentingan peribadi.
“Saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbukti menyalahgunakan nama institusi Kesultanan Pahang. Tindakan sewajarnya hendaklah diambil tanpa mengira pangkat, gelaran mahupun pertalian kekeluargaan.
“Janganlah gelaran yang diwarisi berabad-abad lamanya hanya menjadi kebanggaan pada nama, sedangkan amanah dan tanggungjawabnya semakin dilupakan,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja sempena Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali Ke-121 di sini, hari ini.
Sementara itu, Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa sejarah pemerintahan Pahang yang bermula 556 tahun lalu memperlihatkan peranan penting Raja, Bendahara, Orang Besar dan kerabat diraja dalam membentuk sistem pemerintahan negeri yang tersusun sejak berabad-abad lamanya.
Bagaimanapun, perubahan sistem pemerintahan kepada pentadbiran moden bermakna urusan kerajaan hari ini dilaksanakan melalui Menteri Besar, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri serta seluruh jentera perkhidmatan awam, tertakluk kepada Perlembagaan dan undang-undang.
Justeru, Paduka Baginda bertitah bahawa gelaran kebesaran dan kedudukan kerabat tidak dengan sendirinya memberikan kuasa untuk mencampuri urusan pentadbiran kerajaan.
Sebaliknya, golongan pembesar dan kerabat bergelar perlu terus memainkan peranan melalui kebijaksanaan, kesetiaan, keteladanan serta khidmat kepada rakyat, di samping memelihara adat istiadat, menjunjung kedaulatan Raja dan menjaga keharmonian masyarakat.
Paduka Baginda turut menegaskan bahawa amanah yang diwarisi daripada generasi terdahulu tidak seharusnya sekadar menjadi kebanggaan pada nama, sebaliknya perlu diteruskan melalui tindakan yang mencerminkan kemuliaan institusi Kesultanan Pahang.
“Biar zaman dan generasi silih berganti, namun maruah Kesultanan Pahang tetap terpelihara, adatnya terus dijunjung, kedaulatannya terus dipertahankan dan rakyatnya sentiasa dinaungi dengan keadilan serta kasih sayang,” titah Paduka Baginda. – KESULTANAN PAHANG







