KUANTAN, 30 Oktober 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yayasan Pahang atas kejayaan menerima Special Award: Best in Social Impact & Economic Empowerment pada majlis BusinessToday Industry Choice Awards 2026.
Kejayaan ini membuktikan keupayaan Yayasan Pahang dalam melaksanakan inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya menerusi peluasan peluang pendidikan, pembangunan bakat serta usaha meningkatkan taraf hidup rakyat.
Paduka Baginda berdua turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi bersama seluruh pasukan yang telah bekerja keras dalam memastikan pelbagai agenda pembangunan yayasan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Paduka Baginda berdua berharap agar pencapaian ini menjadi pemangkin kepada Yayasan Pahang untuk terus meneroka pendekatan baharu, memperluas manfaat kepada lebih ramai penerima serta memperkukuh sumbangannya dalam melahirkan generasi masa depan yang berpengetahuan, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada kemajuan negara dan negeri Pahang khususnya. – KESULTANAN PAHANG






