KUALA LUMPUR, 22 JULAI 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan menerima mengadap Tun Datuk Seri Utama Haji Mohd Khalil bin Yaakob di Shahzan House di sini semalam.

Paduka Baginda meluangkan masa hampir satu jam membincangkan pelbagai perkara termasuk bertanya khabar dan perkembangan terkini Tun Khalil.

Untuk rekod, Tun Khalil merupakan Menteri Besar Pahang ke-13 (1986 – 1999) dan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-6 (2004-2020).

Paduka Baginda kemudian turut berkenan menerima mengadap Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah bersama barisan kepimpinan baharu dan pengurusan tertinggi Maritim Malaysia.

Paduka Baginda menzahirkan kebimbangan berhubung isu penyeludupan dadah, pendatang haram dan sebagainya serta menitahkan agar operasi penguatkuasaan Maritim Malaysia perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa khususnya di kawasan perairan Negeri Pahang. – KESULTANAN PAHANG









