PULAU TIOMAN, 13 Ogos 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli ke Pulau Tioman hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda selama tiga hari bermula hari ini adalah sempena lawatan kerja dan mendekati rakyat di sekitar kawasan pulau ini.
Paduka Baginda berangkat tiba pada pukul 11 pagi disambut YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah serta para pemimpin setempat.
Memulakan lawatan kerja hari pertama, Paduka Baginda berkenan ke Bank Simpanan Nasional (BSN) di Kampung Tekek bersempena persembahan Kad Debit Pulau Tioman dan Gimik Tanpa Tunai.
Paduka Baginda kemudiannya berkenan menyantuni peniaga-peniaga kedai makan di Kompleks Terminal Kampung Tekek, pengunjung serta pelancong asing yang turut mengenali dan teruja bertemu Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG







