KUANTAN 14 Ogos 2025 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima mengadap Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Pahang, YH Dato’ Razihan bin Adzharuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Mining Corporation, YH Dato’ Haji Ahmad Rizal bin Ali @ Jaafar; Timbalan Ketua Polis Pahang, YDH Dato’ Azry Akmar bin Dato’ Hj Ayob dan Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Encik Saifullah bin Muhammad Ali.
Sesi mengadap kali ini memfokuskan perbincangan berhubung langkah penguatkuasaan undang-undang negeri, khususnya dalam aspek pengurusan tanah, perlombongan dan kawalan aktiviti tidak berlesen di seluruh Pahang.
Perbincangan turut menekankan keperluan kerjasama strategik antara agensi bagi menangani isu pencerobohan tanah kerajaan, aktiviti perlombongan haram, penyalahgunaan lesen, serta pelanggaran peraturan yang memberi kesan kepada kelestarian alam sekitar dan keselamatan rakyat. – KESULTANAN PAHANG