KUANTAN 19 November 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah peningkatan angka penagih dadah di negeri ini berada pada tahap amat membimbangkan.
Tegas Paduka Baginda, angka yang dipersembahkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) iaitu seramai 11750 orang penagih aktif di negeri ini amat mendukacitakan.
“Saya baru dapat (dipersembahkan) briefing dari AADK, di mana Pahang nombor lima (dalam Malaysia) paling ramai penagih dadah.
“Kebimbangan saya terhadap masalah dadah khususnya di sekolah dalam negeri Pahang..seramai 11750 penagih sedang diawasi pihak AADK, yang sedihnya anak-anak kita sendiri. Daripada angka tersebut, 57 peratus adalah daripada lingkungan umur 15 hingga 30 tahun. Ia adalah satu angka yang membimbangkan,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan Maahad Tahfiz Negeri Pahang 2024 di Hotel Zenith di sini semalam.
Turut berangkat ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj diiringi YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri, YHM Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moiz.
Sementara itu, Paduka Baginda bertitah agar permasalahan dadah ini diberi perhatian serius dan khusus agar ia tidak terus melarat.
“Sudah sampai masa ibu bapa di negeri Pahang ini tidak kira anak terlibat ke tidak (dengan dadah) bangkit bantu bagi nasihat sewajarnya.
“Saya bimbang kalau tak ambil perhatian angka ini akan terus meningkat..saya harap semua pihak dapat membantu,” titah Paduka Baginda.
Tidak menolak rokok menjadi antara punca awal penglibatan ke dalam kancah penagihan dadah, Paduka Baginda dengan tegas mahu kecanduan terhadapnya dihentikan.
“Antara sebab-sebab terlibat (dadah) bermula dengan rokok dan vape merupakan alat yang merosakkan kesihatan.
“Saya mahu vape diharamkan secara total, tak perlu (buat) pertimbangan.
Saya nak kita semua jadikan masalah dadah ini sebagai masalah bersama, banteraslah bersama,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG