LIPIS, 3 Disember 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar setiap pembinaan rumah berhampiran pinggir atau anak sungai mesti dibuat bertiang tinggi sama seperti rumah Melayu lama.
Paduka Baginda bertitah perkara tersebut memerlukan pertimbangan agar tidak berlaku pembaziran akibat rumah yang baru dibina akan rosak atau musnah akibat dilanda banjir.
“Saya sempat bertanya sikit-sikit dalam kalangan mangsa banjir dekat PPS (Pusat Pemindahan Sementara) keadaan rumah mereka semua dan ada juga yang merungut kerajaan bagi rumah pada dia rumah tak bertiang.
“Jadi kalau boleh masa-masa akan datang kita bina rumah bertiang di tepi-tepi sungai..Sungai Pahang ke atau anak sungai mana sekalipun lah. Digalakkan dinasihatkan buat rumah bertiang.. itu sahaja.
Ketika ditanya media berkenaan keperluan menambahbaik pelan perumahan negeri, Paduka Baginda berkata nasihat berkenaan diberikan kepada sesiapa sahaja yang ingin membina rumah di kawasan berisiko banjir.
“Saya tak beranilah nak kata mana-mana rumah tetapi dinasihatkan kalau mana-mana rumah yang berhampiran dengan sungai atau anak-anak sungai sekali pun biarlah berkaki, bertiang.
“Kalau rumah atas bukit ini takpelah tak bertiang tak kena banjir,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian kepada media ketika berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Kampung Tanjung Gahai, hari ini.
Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda berkenan menyerahkan kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) kepada 15 orang penerima melibatkan rakyat di sekitar daerah Lipis. -KESULTANAN PAHANG