ROMPIN, 18 Mac 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah semua pihak perlu memainkan peranan untuk mendidik generasi ‘Jilul Quran’ yakni generasi pewaris Al-Quran yang akrab dengan wahyu Ilahi dan menjadikan kalamullah sebagai pegangan dan pedoman dalam setiap langkah kehidupan mereka.

Paduka Baginda bertitah, dunia kini berada di ambang sebuah era yang mencabar, di mana umat Islam menghadapi pelbagai bentuk ancaman sama ada dalam bentuk pemikiran, akidah mahupun budaya.
“Hari ini kita tidak boleh sekadar berpuas hati dengan kemajuan duniawi semata-mata, sedangkan jiwa anak-anak kita tandus daripada cahaya Al-Quran.

“Jika generasi kita tidak berpaut teguh pada ajaran Al-Quran dan sunnah, kita akan hanyut dalam arus globalisasi, yang mengugat jati diri umat Islam.

“Oleh itu, marilah kita bersama-sama menghayati satu hakikat yang tidak boleh kita persiakan bahawa generasi Islam yang unggul hanya akan lahir apabila mereka dididik dan diasuh dengan roh Al-Quran,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Majlis Sambutan Nuzul Quran, bacaan Yasin dan tahlil Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar serta perasmian Masjid Al-Sultan Abdullah, Kampung Sungai Puteri di sini.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut mengiringi ialah YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri, YHM Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam pada itu, Paduka Baginda bertitah bahawa umat Islam mempunyai kisah-kisah yang lebih agung yang diabadikan dalam Al-Quran berbanding hikayat lama masyarakat barat yang ditekankan dalam budaya ‘bedtime story’.

“Alangkah indahnya jika kita dapat mengamalkan ‘bedtime Al-Quran story’, suatu pendekatan mendidik anak-anak dengan menceritakan kisah para nabi, para solihin, dan umat terdahulu yang diceritakan dalam Al-Quran.
“Inilah kisah yang benar, kisah yang bukan sekadar hiburan, tetapi membentuk jiwa, membimbing akal dan memperkukuh iman,” titah Paduka Baginda.

Sementara itu Paduka Baginda Turut menyentuh berkenaan Zon Khas waktu solat daerah Rompin yang diputuskan pada 19 Februari yang lalu membabitkan Mukim Rompin, Endau dan Pontian, dengan titik rujukan di Kedaik adalah langkah yang tepat dan wajar.

“Sesungguhnya, perbezaan waktu solat dan berbuka puasa di Rompin telah lama menjadi persoalan yang menimbulkan kegelisahan dalam kalangan penduduk. Jarak waktu antara Rompin dan Mersing boleh mencapai perbezaan satu hingga tiga minit pada bulan Ramadan dan sehingga lima minit pada bulan-bulan lain.

“Dalam soal ibadah, ketelitian dan kepastian adalah keutamaan. Keputusan mengeluarkan Rompin daripada Zon 2 (Kuantan, Pekan, Muadzam Shah) ini diambil setelah penelitian mendalam oleh Jawatankuasa Falak Negeri Pahang bersama para pakar dalam bidang hisab dan astrometri mengambil kira perbezaan waktu yang ketara antara Rompin dengan sempadan daerah Johor, khususnya di Mersing dan Endau,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG
