LIPIS, 22 Mac 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan hasrat untuk melihat generasi muda di negeri ini membesar sebagai generasi yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

Baginda bertitah antaranya adalah usaha penubuhan Maahad Tahfiz Ar-Rushd yang diasaskan YAB Menteri Besar Pahang sendiri yang mencerminkan tekad negeri Pahang dalam memperkasa pendidikan Islam, khususnya dalam melahirkan generasi huffaz yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

“Saya ingin melihat generasi muda di Pahang membesar sebagai generasi yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing, tanpa melupakan nilai-nilai islam yang menjadi tunjang kehidupan. Anak-anak Pahang perlu dilatih dengan ilmu moden, teknologi serta kemahiran kepimpinan.

“Tambahan, saya menyambut baik kerjasama yang terjalin antara Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) melalui (MUIP) dengan Mohamed bin Zayed University for Humanities (MBZUH), UAE dalam memperkukuhkan Pendidikan Islam dan tahfiz di negeri ini.

“Kerjasama strategik ini bukan sahaja memberi manfaat dalam memperkasakan kurikulum tahfiz, tetapi juga membolehkan pertukaran ilmu, latihan tenaga pengajar serta pembangunan penyelidikan Islam,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Maahad Tahfiz Ar-Rushd, Tanjung Gahai di sini semalam.

Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 6.30 petang disambut YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Turut hadir YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail serta barisan kepimpinan negeri dan daerah Lipis.

Sementara itu, Paduka Baginda bertitah mengingatkan kembali amanat yang telah disampaikan kepada para pengetua pusat tahfiz, madrasah dan pondok di Pahang sebelum ini.

“Saya berhajat untuk terus memperkasakan pusat tahfiz, madrasah dan pondok ini dengan melaksanakan pelbagai pendekatan pendidikan yang bertujuan membawa pusat tahfiz, madrasah dan pondok ini ke arus perdana masyarakat serta menjadi penyumbang penting kepada kemakmuran Islam di negeri ini.

“Saya ingin sekali lagi menasihatkan para pengetua pusat tahfiz, madrasah dan pondok supaya sentiasa bersungguh-sungguh dalam melaksanakan dasar-dasar yang telah diputuskan oleh MUIP bagi tujuan memenuhi amanat saya tersebut,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG