RAUB, 8 Mei 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil dan hukuman lebih berat menanti peneroka haram.

“Saya nak mengingatkan kepada mereka (peneroka haram), kita ada undang-undang di negara kita dan di negeri Pahang. Kalau ini (pencerobohan) dibiarkan, seolah kita tidak ada pihak penguatkuasa, tidak ada pejabat hutan, tak ada pejabat tanah, tak ada pejabat MB dan sebagainya.Jadi, kita harus memahami hakikat itu. Itulah yang sebenarnya.

“Mana-mana pihak yang nak membuat permohonan, silalah buat permohonan secara official (rasmi) melalui proses-proses yang ditentukan oleh pihak kerajaan. Itu saja,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda bertitah demikian ketika ditemui media selepas berkenan berangkat bercemar duli ke tapak operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian haram di Batu 3 Sungai Ruan-Sungai Klau.

Keberangkatan Paduka Baginda turut diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, Paduka Baginda bertitah agar rakyat tidak terkeliru dengan sebarang isu yang dibawa oleh mana-mana pihak seterusnya mengetepikan undang-undang.

“Jangan terkeliru, jangan terbeli dengan dakyah-dakyah (yang mendakwa sebagai pejuang rakyat) ini kerana kita mesti ikut peraturan.
(Kes) yang mana berlalu itu, saya tak nak ungkit. Kita nak pergi ke hala hadapan.

“Kita (mahu) supaya ada satu sistem yang boleh kita urus tadbir hal-hal tanah ini dengan sebaik mungkin. Bukan seperti yang berlaku sekarang. Tidak adil bagi rakyat, tidak adil bagi kerajaan dan sebagainya,” titah Paduka Baginda.-KESULTANAN PAHANG