KUANTAN, 6 Julai 2025 – Istana Pahang telah mengesan terdapat penyebaran video palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang memaparkan wajah menyerupai Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Beberapa klip video palsu giat disebarkan melalui akaun TikTok ‘datuk_abdul_majid’, ‘datokfahrolaziz07” dan ‘datuk_abdul_majid7’ kononnya berkenaan tawaran bantuan kepada rakyat.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan video berkenaan, tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat yang terkandung dalam video tersebut serta melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menerima kandungan mencurigakan.
Istana Pahang ingin menegaskan bahawa video tersebut adalah tidak benar dan tidak sahih. Ia merupakan penyalahgunaan imej KDPB Sultan Pahang bagi tujuan penipuan dan memperdaya orang ramai.
Istana Pahang menegaskan bahawa Paduka Baginda tidak mempunyai sebarang akaun media sosial dan semua aktiviti atau titah secara langsung hanya disiarkan melalui platform media sosial Kesultanan Pahang dan di Facebook hanya satu akaun sah Kesultanan Pahang dengan memiliki kira-kira 725,000 orang pengikut.
Manakala di platform media sosial lain seperti instagram, TikTok, Youtube, Threads dan aplikasi X hanya menggunakan nama Kesultanan Pahang manakala portal rasmi Istana Pahang ialah istanapahang.my.
Lindungilah diri anda daripada penipuan siber. Hentikan penyebaran maklumat palsu. -KESULTANAN PAHANG