KUANTAN, 28 Oktober 2024 – Istiadat persandingan YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan pasangannya, YM Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan berlangsung dengan penuh tradisi di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini semalam.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bersama Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Turut berangkat KDYMM Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta paduka-paduka adinda serta kerabat bergelar.
Seramail 16 orang Jejawat Lilin masuk ke Balai Mahkota sebelum YM Tengku Natasya Puteri yang tampil anggun dalam busana berona putih dengan kilauan hiasan dibawa tepat pukul 8.40 malam.
YAM Tengku Muhammad kemudian dibawa masuk ke Balai Mahkota bersama Sirih Lat-Lat yang kemudiannya diserahkan kepada YM Tengku Natasya Puteri sebagai tanda bermulanya Istiadat Bersanding.
Istiadat Bersanding dimulakan dengan istiadat menyuap nasi semangat atau pulut kuning kepada pasangan pengantin oleh kekanda Sultan Pahang, YAM Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Dato’ Sri Hajah Tengku Muhaini Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.
KDPB Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah berkenan memulakan istiadat merenjis pasangan pengantin diikuti KDPB Tengku Ampuan Pahang, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah serta KDPM Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut merenjis pasangan pengantin ialah Menteri Besar Pahang YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail serta isteri, Datin Seri Diraja Dato’ Burhah Mohammed diikuti YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, YAM Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tengku Tan Sri Dr. Hajjah Meriam binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah serta pembantu Paduka Baginda, Dato’ Anna Gibbon.
Istiadat Persandingan diakhiri dengan upacara meletak Pancabicara atau peralatan istiadat yang digunakan dalam istiadat perkahwinan serta istiadat-istiadat Diraja yang lain oleh KDPB Sultan Pahang di atas kepala pasangan pengantin.
Keberkatan istiadat persandingan yang berlangsung dipohon melalui bacaan doa oleh Sahibus Samahah Mufti Pahang Professor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim sebelum pasangan Pengantin Diraja meninggalkan Balai Mahkota untuk sesi bergambar di Balai Panglima.
Pasangan Pengantin Diraja kemudiannya menuju ke Balai Bendahara bagi majlis memotong kek dan menikmati jamuan makan bersama semua jemputan yang hadir.
Istimewanya, semua hadirin dijamu menu-menu tradisional negeri Pahang antaranya Patin Buah Tempoyak, Ayam Kampung Asam Rom, Ayam Kampung Gulai Tempoyak, Ikan Pekasam Pahang, Sambal Peda, Daging Pacak, Bubur Murai dan Aiskrim CheMinahSayang. -KESULTANAN PAHANG