KUANTAN, 19 Mac 2025 – Orang ramai diminta tidak terpedaya dengan kewujudan akaun-akaun palsu yang muncul di platform media sosial dengan menggunakan nama kerabat Diraja Pahang dan juga Kesultanan Pahang.
Kebelakangan ini muncul banyak akaun Facebook palsu melibatkan nama Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Isu sama yang turut ingin dijelaskan ialah mengenai akaun media milik Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
KDPB Tengku Ampuan Pahang hanya memiliki akaun sosial yang aktif di Instagram namun ia bersifat peribadi manakala KDPM Tengku Mahkota Pahang hanya mempunyai akaun di Instagram dengan nama this.7.
Sebarang aktiviti atau titah secara langsung hanya disiarkan melalui platform media sosial Kesultanan Pahang dan di Facebook hanya satu akaun sah Kesultanan Pahang dengan memiliki kira-kira 685,000 orang pengikut.
Manakala di platform media sosial lain seperti instagram, TikTok, Youtube dan aplikasi X hanya menggunakan nama Kesultanan Pahang manakala portal rasmi Istana Pahang ialah istanapahang.my.
Istana Pahang menafikan kewujudan sebarang akaun media sosial yang diwujudkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan berharap agar tiada yang terpedaya dengan penyamaran yang cuba mengelirukan orang ramai. -KESULTANAN PAHANG