KUANTAN 12 Mei 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat menyantuni keluarga kanak-kanak lemas dipercayai di muara Sungai Balok di rumah mereka di Sungai Ular di sini hari ini.

Ketika kejadian pada 10 Mei 2025 kira-kira pukul 5 petang, Masitah Latipah Adam, 42, membawa anak-anaknya termasuk mangsa, Nur Afia Ramadhannie Zolkurnain, 7, ke Balok untuk beriadah dan mencari kepah.

Bagaimanapun, anak ketujuh daripada lapan beradik itu dilaporkan hilang dan ditemukan lemas beberapa jam kemudian.

Kebawah Duli Tuanku amat bersimpati dengan kejadian tersebut dan berharap ibu bapa dan seluruh keluarga mangsa tabah dan reda dengan ujian kehilangan itu.

“Allah lebih sayangkannya,” demikian titip nasihat Kebawah Duli Tuanku buat keluarga berkenaan. – KESULTANAN PAHANG
