KUANTAN, 27 Disember 2024,- Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan menghadiri Majlis Ilmu Bacaan Al-Quran Bertajwid diikuti solat Maghrib berjemaah, bacaan yasin dan tahlil serta solat Isyak bersama tetamu dan kakitangan di surau Istana Abdulaziz di sini semalam.
Kelas Mengaji Al-Quran dikendalikan oleh Pegawai Agama Istana, Leftenan Kolonel Anuar Mohd Ehwal dengan mempelajari Hukum Mad manakala bacaan yasin dan tahlil dipimpin oleh Ustaz Haji Mohd Fadzli bin Ishak dari Masjid Al Muadzam Shah, Rompin.
Turut berangkat ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
KDPB Sultan Pahang dan KDPM Tengku Mahkota Pahang kemudian turut berkenan santap bersama semua kakitangan dan tetamu. – KESULTANAN PAHANG