KUANTAN, 14 Februari 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat merasmikan Majlis Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Kali Ke-68 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini semalam.

Turut berangkat ialah YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah serta YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Majlis berkenaan turut dihadiri YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ketua-Ketua Jabatan dari seluruh negeri Pahang.

Pada majlis berkenaan Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang dan juga jemaah hakim.
Tilawah al-Quran kali ini menyaksikan Encik Ahmad Yaseer bin Mohd Najid muncul sebagai Johan Qari dengan memperoleh markah sebanyak 95.50, manakala kategori Qariah dimenangi Siti Fatimah binti Mohd Noor dengan markah 95.75.


Sementara itu dalam titah Paduka Baginda turut berharap agar setiap rakyat mengambil peluang untuk mendekatkan diri kepada al-Quran serta memperbanyakkan tilawah, tadabbur dan mengamalkan ajarannya di dalam kehidupan.

Titah Paduka Baginda lagi, bulan Ramadan yang bakal tiba turut menjadi waktu dan medan terbaik untuk kembali kepada fitrah dan mengurangkan tumpuan kepada isi hal dunia.
“Saya juga tidak terlepas dalam menghidupkan pembacaan al-Quran dan mentadabbur ayat suci al-Quran bersama-sama pegawai dan staf di Istana Abdulaziz.
“Sesungguhnya, al-Quran itu bukan sekadar dibaca tetapi difahami dan dihayati maknanya. Ilmu al-Quran ini wajib dipelajari secara bertalaqi, sebagaimana Rasulullah SAW sendiri diajarkan oleh malaikat Jibril,” titah Paduka Baginda.

Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menzahirkan perkenan waktu bekerja bagi penjawat awam Negeri Pahang Darul Makmur pada bulan Ramadan setiap hari Jumaat adalah berakhir pada jam 12.30 tengahari.
Titah Paduka Baginda, pihak Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bil. 6/2025 yang bersidang pada 5 Februari lalu juga telah bersetuju dan meluluskan cadangan ini.
Keputusan dan kemudahan yang diberikan ini adalah untuk memberi peluang kepada penjawat-penjawat awam untuk memanfaatkan lebih masa bersama keluarga di bulan Ramadhan disamping memuliakan hari Jumaat, penghulu segala hari. -KESULTANAN PAHANG