KUANTAN, 16 Jun 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli menghadiri Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali Ke-119 di Hotel Grand Darul Makmur, hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah serta YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada mesyuarat berkenaan, Paduka Baginda bertitah menekankan beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian dan antaranya ialah memperkasakan Jumaah Pangkuan Diraja agar tidak hanya bersifat simbolik atau seremoni semata-mata.

“Saya sedang meneliti keputusan menubuhkan Jawatankuasa Kerja Jumaah Pangkuan Diraja sebagai platform untuk memantapkan fungsi dan sumbangan ahli-ahli Jumaah terhadap rakyat dan negeri.

“Antara bidang tugas dan tanggungjawab yang boleh dipertimbangkan termasuklah berperanan sebagai badan penasihat bebas yang menyuarakan pandangan rakyat kepada pentadbiran negeri, menyokong agenda pemuliharaan alam sekitar khususnya dalam isu kritikal serta memperkukuh jaringan sosial melalui inisiatif kebajikan dan sokongan kepada golongan kurang bernasib baik.

“Saya tidak mahu melihat ahli-ahli Jumaah Pangkuan hanya sekadar mengisi tempat duduk di balairung dan dewan-dewan rasmi, tetapi sebaliknya menjadi pendukung dan benteng utama Negeri Pahang, yang menasihati dengan kebijaksanaan, memimpin dengan contoh dan berkhidmat dengan keikhlasan serta integriti,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda menegaskan bahawa peranan ini bukan sahaja akan memperkukuh institusi diraja, tetapi juga memberi keyakinan kepada rakyat bahawa mereka mempunyai tempat bergantung dan suara yang didengari dalam pentadbiran negeri. -KESULTANAN PAHANG