KUANTAN, 10 Jun 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Santapan Diraja sempena Mesyuarat ke-8 Majlis Penasihat Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) 2025 di Hotel Zenith, hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.

Keberangkatan Paduka Baginda berdua disambut Presiden AIPA merangkap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin serta berisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang.

Keberangkatan Paduka Baginda ke Majlis Santapan Diraja ini menjadi simbol sokongan institusi Diraja terhadap diplomasi antara Parlimen demi ASEAN yang lebih selamat dan mampan.

Mesyuarat AIPACODD bertemakan ‘Uniting Parliaments for an Inclusive and Sustainable ASEAN in Addressing Contemporary Drug Challenges’ bermula hari ini membincangkan komitmen negara anggota ASEAN dalam menangani cabaran semasa berkaitan dadah secara kolektif dan terangkum selain isu jenayah siber dan pemerdagangan manusia.

Mesyuarat akan diteruskan esok dengan sesi perbincangan dan pengesahan resolusi rasmi AIPACODD, sebelum diakhiri dengan majlis penutupan dan ucapan penghargaan oleh wakil Filipina selaku tuan rumah mesyuarat akan datang. -KESULTANAN PAHANG
