KUALA LIPIS, 21 Mac 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Tadika Pintar Al-Quran (TPQ) MUIP Daerah Lipis yang terletak di Jalan Bukit Bius, di sini semalam.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Paduka Baginda meluangkan masa kira-kira 30 minit melihat sendiri sistem prasekolah untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 6 tahun, dengan penekanan kepada pendidikan Islam serta bacaan Iqra’ dan al-Quran sebagai teras utama pendidikan.

Paduka Baginda kemudiannya berkenan berangkat ke Bazar Ramadan Kuala lipis.

Selain membeli juadah berbuka puasa, Paduka Baginda turut meluangkan masa menyantuni rakyat yang mahu mendekati dan bergambar kenangan bersama raja yang disayangi. -KESULTANAN PAHANG
