KUANTAN, 18 April 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.

Turut mengiringi ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketibaan Paduka Baginda pada pukul 9.30 pagi turut disambut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin serta barisan Ahli-Ahli Dewan Negeri Pahang.

Istiadat dimulakan dengan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama sebelum Paduka Baginda berdua berkenan berangkat ke Dewan Negeri selepas persidangan ditempohkan sebentar.
Paduka Baginda kemudian berkenan menyampaikan titah Diraja sebelum berangkat meninggalkan Dewan Negeri untuk ke jamuan Diraja seterusnya berangkat meninggalkan majlis. – KESULTANAN PAHANG