KUANTAN, 9 April 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat ke Majlis Pengurnian Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan YB Setiausaha Kerajaan Pahang dan YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang di Balai Mahkota Istana Abdulaziz, hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada majlis berkenaan Paduka Baginda berkenan mengurniakan Suratcara Pengisytiharan Pelantikan dan menyaksikan Ikrar Taat Setia YB Setiausaha Kerajaan Pahang baharu, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar serta YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang baharu, Dato’ Haji Fadzilla Salleh.

Majlis turut dihadiri YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri, Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri dan ketua-ketua jabatan.

Sementara itu Paduka Baginda bertitah menzahirkan ucapan tahniah di atas pelantikan tersebut dan berharap agar ia tidak hanya menjadi satu penghormatan sahaja tetapi juga satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi, keikhlasan dan tanggungjawab.

“Dalam pada masa yang sama, pelantikan ini tidak dilihat sebagai satu keistimewaan semata-mata, sebagai satu tanggungjawab yang besar dan mulia.

“Kedudukan yang disandang adalah lambang kepercayaan bukan sahaja daripada pihak pentadbiran negeri, tetapi juga daripada rakyat jelata, yang meletakkan harapan tinggi kepada kewibawaan dan kebijaksanaan para pemimpin negeri ini,” titah Paduka Baginda.

Dalam pada itu juga, Paduka Baginda turut menyeru agar seluruh jentera pentadbiran negeri, memperkemas dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam.

“Kita perlu bergerak ke hadapan, dengan sistem pentadbiran yang lebih efisien, tersusun dan responsif bukan semata-mata memenuhi prosedur, tetapi menjawab keperluan sebenar rakyat. Rakyat menilai kerajaan bukan pada kata-kata, tetapi pada tindakan, penyelesaian dan hasil kerja.

“Saya menaruh keyakinan bahawa dengan pelantikan yang baharu ini dan sokongan semua pihak, negeri Pahang akan terus melangkah maju sebagai sebuah negeri yang berdaya saing, stabil dan sejahtera. Jadilah pemimpin yang bukan sahaja cekap dan berilmu, tetapi juga berjiwa besar, rendah hati, dan menjunjung tinggi nilai integriti dalam setiap tindakan.

“Berbaktilah dengan jujur, bertindaklah dengan adil, dan sentiasalah meletakkan kepentingan rakyat dan negeri mengatasi segala yang lain,” akhiri Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG
