KUANTAN, 17 September 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli ke Pusat Pentadbiran Sultan Haji Ahmad Shah (PPSAS) di KotaSAS di sini hari ini.
Paduka Baginda tiba pada pukul 11.00 pagi sebelum berkenan menerima menghadap Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy sempena pra-mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).
Paduka Baginda meluangkan masa kira-kira 45 minit bagi membincangkan pelbagai perkara terutama berkaitan pentadbiran kerajaan sebelum berkenan melawat ruang pejabat yang telah beroperasi antaranya Pejabat Menteri Besar Pahang, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Exco, Pejabat Speaker DUN, Bilik Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) serta Bahagian Dewan Undangan Negeri.
Pada sesi taklimat, Paduka Baginda bertitah agar penyelenggaraan dan kawalan pusat yang dibina dengan penuh ikonik dan modenisasi ini perlu diberi perhatian utama.
Kewujudan pusat pentadbiran ini juga diharap dapat menjadikan Pahang lebih ke depan dari segi pengurusan dan pentadbiran sekaligus menjalankan fungsi membela nasib rakyat dengan sebaiknya. -KESULTANAN PAHANG