KUANTAN, 19 November 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan menerima mengadap dan mendengar persembahan Taklimat Persediaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 Negeri Pahang di Istana Abdulaziz di sini hari ini.
Persembahan taklimat tersebut merupakan anjuran Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang dengan kerjasama Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.
Selepas selesai sesi taklimat, Kebawah Duli Paduka Baginda turut berkenan berangkat bercemar duli ke Depoh Penyimpanan Bekalan Keperluan Asas Mangsa Banjir di Kampung Tiram di sini.
Paduka Baginda berkenan melihat sendiri kesiapsiagaan jabatan-jabatan berkaitan untuk menghadapi musim tengkujuh dan bencana banjir.
Paduka Baginda turut berkenan berangkat ke Kampung Chendering bagi memantau paras air dan kawasan-kawasan berisiko. – KESULTANAN PAHANG