ROMPIN, 29 Jun 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli menyempurnakan majlis pengurniaan hadiah Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2025 di Villea Rompin Resort & Golf hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi YAM Tengku Arif Bendaharan Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut menyertai kejohanan tersebut.

Pada majlis berkenaan Paduka Baginda berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang yang menyertai cabaran kejohanan di padang yang menyajikan gabungan landskap pantai dan hutan, fauna semula jadi, angin laut mencabar serta rekaan lubang bermutu, di sini.

Untuk makluman, penganjuran Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2025 adalah bersempena meraikan ulang tahun keputeraan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ke-66.

Kejohanan Golf ini akan diadakan di empat gelanggang berasingan di negeri ini dimana acara pembukaan bermula di MGCC diikuti Villea Rompin Resort and Golf, Rompin yang menjadi gelanggang kedua hari ini dan seterusnya di Kelab Golf Diraja Pekan pada 13 Julai. Manakala kemuncak kejohanan dan acara penutup akan berlangsung di Kelab Golf Diraja Pahang pada 3 Ogos depan. – KESULTANAN PAHANG
