PEKAN, 4 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan perasmian Laman Pekan Lama, Jalan Al-Sultan Abdullah dan Jalan Orang Kaya Indera Shahbandar di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda turut diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Usaha menaiktaraf Pekan Lama ini dilaksanakan hasil titah KDPB Sultan Pahang manakala Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja (MPPD) sebagai pelaksana dan ECERDC selaku penaja dengan peruntukan berjumlah RM6 juta.
Usaha tersebut meliputi kerja-kerja penyelenggaraan seni bina bangunan lama, deretan kedai serta infrastruktur bagi menggalakkan aktiviti pelancongan sekaligus mengangkat Pekan Lama sebagai salah sebuah destinasi warisan bersejarah negeri.
Pada 11 Disember 2024 lalu, dengan kelulusan Kerajaan Negeri dan sokongan Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja menamakan semula Jalan Pekan Lama sebagai Jalan Al-Sultan Abdullah dan Jalan Teng Quee di pusat bandar kepada Jalan Orang Kaya Indera Shahbandar. -KESULTANAN PAHANG