LIPIS, 7 Februari 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli menghadiri Majlis Santapan Malam Tahun Baru Cina bersama pemimpin masyarakat daerah Lipis di Hotel Lipis Plaza, di sini semalam.

Paduka Baginda tiba di perkarangan hotel pada pukul 8.10 malam dan disambut dengan persembahan tarian singa sebelum masuk ke dewan bagi majlis santapan.

Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda mengambil kesempatan bertitah menzahirkan rasa syukur dan gembira dapat hadir ke daerah Lipis dan bertemu dengan pemimpin serta rakyat dengan lebih dekat.

“Saya berharap kita dapat terus kekalkan semangat keharmonian yang ada sekarang. Saya dapat lihat kelebihan semangat dan keharmonian di daerah Lipis ini.

“Saya harap semangat ini dapat ditanam orang lama kepada generasi baru tanpa mengira kaum, agama dan ideologi. Terapkan sikp saling hormat-menghormati agar daerah Lipis ini terus berada dalam suasana cukup selamat, aman dan harmoni,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG