RAUB, 8 Mei 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menyifatkan usaha penguatkuasaan yang dijalankan secara tegas menjadi hala tuju menoktahkan pencerobohan dan penerokaan tanah secara haram di negeri ini.

Paduka Baginda bertitah, tindakan berterusan perlu dilakukan dan berharap semua pihak bekerjasama agar amalan aktiviti haram ini tidak terus dibiarkan.

“Setelah dengar (taklimat UPNP) tadi, saya begitu terkejut dengan angka yang dikeluarkan tadi, 26,000 ekar (10,521 hektar) di daerah Raub sahaja dan ini adalah satu angka yang sangat besar. Kita perlu menoktahkan dan selesaikan secara terbaik.

“Kita boleh berusaha untuk menoktahkan ini. Ini (usaha) berperingkat-peringkat, tak boleh buat secara mengejut dan sekaligus.. itu mungkin susah sikit.

“Sekurang-kurangnya ada haluan ke situ (untuk) menoktahkan, ada haluan tuju. Kalau tidak ada haluan tuju dan makna haluan tuju, (maka) pencerobohan ini akan berterusan. So, we should not allow that dan percerobohan mesti dihentikan,” tegas Paduka Baginda.

Paduka Baginda bertitah demikian ketika ditemui media selepas berkenan berangkat bercemar duli ke tapak operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian haram di Batu 3 Sungai Ruan-Sungai Klau.

Paduka Baginda berkenan meninjau sendiri kawasan pencerobohan serta pokok-pokok durian yang ditebang dalam operasi penguatkuasaan (Ops Sekat) sebelum ini.

Sebelum itu, Paduka Baginda berkenan berangkat ke Pejabat Daerah dan Tanah Raub untuk mendengar taklimat dan melihat operasi harian di pejabat berkenaan.

Keberangkatan Paduka Baginda turut diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang yang juga ADUN Dong, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal serta Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Encik Saifullah Muhammad Ali. -KESULTANAN PAHANG
