Demikian reaksi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah apabila dimaklumkan keluasan kira-kira 10,521 hektar (26,000 ekar) tanah di daerah Raub sahaja diteroka secara haram sejak sekian lama.
Paduka Baginda nyata hairan dengan keluasan kawasan yang diceroboh itu, yang diibaratkan bersamaan dengan kira-kira 14,700 padang bola sepak.
“Saya diberi taklimat daripada pasukan elit Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) tadi, saya begitu terkejut dengan angka yang diberitahu iaitu 26,000 ekar (10,521 hektar) di daerah Raub saja. Ia satu angka yang besar.
“Namun, tindakan seterusnya perlu dilakukan dan saya berharap semua pihak harus bekerjasama kerana kita tidak boleh membiarkan amalan aktiviti haram ini diteruskan.
“Kita perlu menoktahkan dan menyelesaikannya secara terbaik. Dan jika perkara ini dibiarkan, seolah-olah kita tiada pihak berkuasa daripada Jabatan Perhutanan, Pejabat Daerah dan Tanah, mahupun Pejabat Menteri Besar,” titah Paduka Baginda.
Baginda bertitah demikian kepada media selepas menghadiri taklimat mengenai operasi penguatkuasaan Op Sekat 3.0 di Batu 3, Jalan Sungai Ruan–Sungai Klau, pada 8 Mei 2025.
Turut berangkat ialahKebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. -KESULTANAN PAHANG