JERANTUT, 15 April 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan merasmikan Pusat Gerakan Bencana Banjir Terapung (FLOODCOM) yang pertama di Malaysia di Kampung Bantal, Hulu Tembeling di sini.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut sama berangkat ialah YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

FLOODCOM yang dibangunkan hasil kerjasama antara Agensi Nuklear Malaysia (ANM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang di sini bertujuan menyelaras operasi dan logistik khususnya semasa berlakunya bencana banjir.

Paduka Baginda bertitah agar semua inisiatif itu dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat dan berhasrat untuk memperluaskan program tersebut ke kawasan lain.

“Penerima bantuan peralatan tadi, saya harap dapat membuktikan kejayaan projek ini. Jangan bekerja sambil lewa, beri tumpuan sepenuhnya. Jika berjaya, kita akan tambah lagi bantuan dalam skala yang lebih besar,” titah Paduka Baginda.

Dalam pada itu Paduka Baginda menitahkan agar MUIP menubuhkan satu badan khas bagi memperkasa sektor ekonomi, khususnya pelancongan, di kawasan Hulu Tembeling dan Pulau Tioman.

Paduka Baginda bertitah, satu kajian terperinci perlu dijalankan bagi membangunkan sektor pertanian mikro menggunakan teknologi moden di kawasan pedalaman.

“Saya juga akan membuat kajian terperinci untuk melaksanakan projek pertanian berskala kecil tanpa perlu meneroka kawasan tanah baharu. Kita akan manfaatkan teknologi canggih supaya hasil pertanian dapat digunakan untuk keperluan domestik atau dijual ke luar,” titah Paduka Baginda.

Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan berupa modal dan peralatan bot pelancong bagi Program Pembangunan Ekonomi Asnaf serta bantuan Bina Baru Rumah oleh Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) kepada penduduk di Mukim Hulu -KESULTANAN PAHANG