KUANTAN, 16 APRIL 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan Majlis Peluncuran Penjenamaan Alam Mind Scape Sdn Bhd, di Hotel Hyatt Regency hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Pengerusi Shahzan Alam Muda Sdn. Bhd bersama isteri YM Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan.

Turut hadir YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar serta Ketua Pegawai Eksekutif Edotco Malaysia, Encik Adlan Tajudin.

Pelancaran ini turut menyaksikan pemeteraian tiga kerjasama strategik yang bakal mempercepat agenda digital Pahang iaitu kerjasama diantara Alam Mindscape, Shahzan Alam Muda dan Kerajaan Negeri Pahang – Penggunaan Network & Planning Analytics (NaPA), platform perancangan rangkaian berasaskan data untuk pengoptimuman lokasi dan liputan rangkaian 4G dan 5G.

Kedua ialah kerjasama diantara U Mobile dan Alam Mindscape bagi memperluas liputan 5G berkualiti tinggi ke seluruh negeri.

Selain itu, usahasama bersama Gnius untuk menyediakan akses pembelajaran digital kepada pelajar keluarga B40 menjadikan internet sebagai pemangkin masa depan anak-anak Pahang.

Kerjasama ini menyatukan kerajaan, industri dan komuniti dalam usaha mempercepatkan transformasi digital Pahang sekaligus memastikan tiada sesiapa tertinggal dalam ekonomi baharu.

Usaha ini juga dilihat bakal melonjakkan lagi usaha menyediakan infrastruktur digital Pahang yang lebih luas dan mampan serta memacu pembangunan ekonomi digital negeri. -KESULTANAN
PAHANG
