KUANTAN, 3 Jun 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli menyertai Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2025 di Mahkota Golf and Country Club (MGCC) di sini, kelmarin.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Arif Bendaharan Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Seramai 136 pemain, pelbagai latar belakang menyertai Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2025 sempena meraikan ulang tahun keputeraan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ke-66.

Kejohanan Golf ini akan diadakan di empat gelanggang berasingan di negeri ini dimana, acara pembukaan bermula di MGCC semalam, diikuti Villea Rompin Resort and Golf, Rompin yang menjadi gelanggang kedua pada 29 Jun ini dan seterusnya di Kelab Golf Diraja Pekan pada 13 Julai. Manakala kemuncak kejohanan dan acara penutup akan berlangsung di Kelab Golf Diraja Pahang pada 3 Ogos depan.

Kejohanan kali ini menawarkan sebanyak 64 hadiah termasuk ‘Hole-In-One’ yang berupa motosikal dan kereta di setiap venue serta pelbagai hadiah cabutan bertuah. – KESULTANAN PAHANG