PEKAN, 14 Januari 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan berangkat bercemar duli menziarahi waris lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan di KM65 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin Sabtu lalu.

Paduka Baginda tiba di Kampung Sepauk, Nenasi pada pukul 3.20 petang dan berkenan meluangkan masa kira-kira setengah jam bertemu serta bertanya khabar Semek Muda, 62, (ibu kepada salah seorang mangsa, Allahyarham Rahimah Awang Muda, 38) serta ahli keluarga yang lain.

Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan dan meminta agar semua waris keluarga bersabar dan redha dengan kejadian yang berlaku dan mendoakan agar roh kelima-limanya ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

Sementara itu ketika bertemu media, Paduka Baginda menzahirkan keprihatinan terhadap aduan-aduan rakyat berkenaan keperluan menambahbaik infrastruktur jalan raya seperti keperluan lampu jalan.

Paduka Baginda juga mengingatkan rakyat di negeri ini agar lebih berhati-hati di jalan raya dan sentiasa memastikan kenderaan yang dipandu berada dalam keadaan baik dan selamat. -KESULTANAN PAHANG
