BENTONG, 10 Mei 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Jamuan Rakyat di Dataran Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Simpang Pelangai di sini hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.

Paduka Baginda berdua turut berkenan melawat gerai-gerai makanan yang disediakan di dataran berkenaan serta beramah mesra dengan rakyat yang setia menanti ketibaan Paduka Baginda berdua.

Ketibaan Paduka Baginda berdua turut menerima persembahan ucapan aluan daripada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam.

Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 100 orang terdiri daripada golongan asnaf di kawasan sekitar. -KESULTANAN PAHANG
