KUANTAN, 24 April 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Pegawai Kadet Adam Firdaus Arifin,24, atas kejayaan cemerlang dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Antarabangsa Terbaik dalam Modular Initial Officer Training Course (MIOTC) Siri 40 di RAF College Cranwell, United Kingdom.
Kejayaan membanggakan ini mencerminkan keazaman, disiplin tinggi serta semangat juang luar biasa yang dimiliki oleh beliau dalam mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Kebawah Duli Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa bangga atas pencapaian tersebut yang sekali gus mengangkat martabat Tentera Udara Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia di peringkat global.
Paduka Baginda berdua mendoakan agar Pegawai Kadet Adam Firdaus Arifin terus dikurniakan kejayaan yang gemilang dalam kerjaya ketenteraan, sentiasa dilindungi serta dipermudahkan segala urusan dalam menjalankan amanah kepada agama, bangsa dan negara.
Sesungguhnya kejayaan ini diharap menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berusaha dengan penuh dedikasi demi mencapai kecemerlangan serta mengharumkan nama negara di mata dunia. -KESULTANAN PAHANG








