KUANTAN, 5 Julai 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan takziah kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta serta seluruh ahli keluarga di atas pemergian bapa mentuanya, tengahari tadi.
Bapa mentua kepada Ahli Parlimen Larut itu, Allahyarham Datuk Abdul Ghani Ngah, 83, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh ketika mendapat rawatan akibat komplikasi dalaman dan sesak nafas susulan kejadian kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat di Kampung Sungai Rapat Tambahan di Ipoh pada 19 Jun lalu.
Paduka Baginda berdua bersama seluruh ahli keluarga mendoakan agar segala urusan dipermudahkan dan roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Semoga Allah SWT mengurniakan ketabahan kepada Datuk Seri Hamzah dan ahli keluarga yang baru sahaja kehilangan ibu mertuanya dalam kejadian kebakaran tersebut dan sentiasa berada di dalam rahmat dan kasih sayangNya. -KESULTANAN PAHANG