KUANTAN, 3 MEI 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga menantu Paduka Baginda berdua iaitu Yang Hormat FD Idzham bin FD Iskandar yang kehilangan nenek tersayang.
Yang Hormat FD Idzham merupakan suami kepada YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Allahyarhamah Puan Sri Datin Zainun Yaacob dimaklumkan meninggal dunia awal pagi Sabtu, 3 Mei 2025.
Paduka Baginda berdua bersama seluruh ahli keluarga mendoakan agar segala urusan dipermudahkan dan roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Semoga juga Allah SWT mengurniakan ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan dan sentiasa berada di dalam rahmat dan kasih sayang-Nya. -KESULTANAN PAHANG