KUANTAN 14 APRIL 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Tun Dato’ Sri Haji Abdullah bin Haji Ahmad Badawi yang meninggal dunia, hari ini.
Allahyarham yang mesra dikenali dengan gelaran Pak Lah dikhabarkan telah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira pukul 7.10 petang, tadi.
Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham yang juga Perdana Menteri Malaysia ke-5 itu ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Paduka Baginda berdua juga mendoakan agar segala urusan keluarga Allahyarham dipermudahkan serta tabah di atas kehilangan insan yang tersayang.
Segala sumbangan Allahyarham sebagai seorang negarawan begitu besar jasanya dalam memajukan dan membangunkan negara akan selamanya dikenang.
Al-Fatihah. -KESULTANAN PAHANG