KUANTAN, 4 Mei 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Sambutan Hari Bomba Sedunia 2025 di Padang MBK 1, hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda berdua pada pukul 9.00 pagi turut diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, YAS Dato’ Ts. Nor Hisham bin Mohammad.

KDPB Sultan Pahang kemudiannya berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama sebelum berangkat ke pentas utama untuk menyaksikan acara yang telah disusun bersempena Sambutan Hari Bomba 2025 yang bertemakan ‘Bomba Tonggak Penyelamatan Negara’.

Paduka Baginda berdua berkenan menyaksikan persembahan deklamasi sajak, persembahan kebombaan, perarakan jentera-jentera oleh 34 buah kontinjen dan 50 buah jentera yang melibatkan seramai 1,500 keanggotaan daripada JBPM, Pasukan Bomba Sukarela, Bomba Pelabuhan Kuantan, Pahang, Bomba Tentera Udara Diraja
Malaysia, Petronas Petrochemical & Fire Services Response (CEFS).

Apa yang turut menarik perhatian kalah pertunjukan helikopter pesawat Mi-17 dan payung terjun oleh smoke jumper selain perbarisan detasemen serta perarakan kontinjen dan jentera oleh ‘wira merah’.

Sementara itu, Paduka Baginda dalam titah perasmian menzahirkan penghargaan kepada semua warga bomba di atas segala perkhidmatan dan bantuan yang telah dihulurkan sepanjang tahun ini dan yang lalu.

“Tanpa pasukan bomba mungkin masalah yang kita hadapi (pada) musim tengkujuh, musim kering dan masalah lain pun mungkin agak sukar kita selesaikan.

“Dan sekali lagi saya ucapkan terima kasih dan walaupun saya di maklum sejarah bomba begitu lama sekali.. saya baca dalam buku sejarah tadi (pasukan Bomba) ditubuh pada tahun 1883 lagi.. ini bermakna 142 tahun berada di bumi Malaysia ini dan semenjak 1976 telah dinaik taraf sebagai satu pasukan perkhidmatan..49 tahun (sebagai) pasukan yang disegani di peringkat Asian dan dunia,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG
