TEMERLOH, 22 April 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat bercemar duli meneruskan perjalanan hari kedua Program Kembara Pahang 1.0, hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda berdua diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut sama mengiringi ialah YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Paduka Baginda berdua memulakan perjalanan ke daerah Bera dari Istana Sri Udara (ISU) Temerloh pada pukul 9 pagi, melambai dan bertemu rakyat dari dekat.

Paduka Baginda berdua singgah ke SK Lebak dan SJKC Kampung Mengkarak sebelum meneruskan perjalanan ke Masjid Al-Muttaqin, Bera untuk menunaikan solat.

Paduka Baginda berdua kemudiannya berhenti berehat di Rumah Rehat Bera sebelum meneruskan perjalanan ke Padang Awam Bera untuk bersantai bersama rakyat.

Acara seterusnya ialah menyaksikan perlawanan antara pasukan Pahang Veteran menentang Bera Veteran sebelum Paduka Baginda berdua berangkat pulang ke Istana Sri Udara untuk berehat sebentar.

Paduka Baginda berdua kemudiannya berkenan berangkat ke majlis santapan Diraja seterusnya memancing di Rumah Rakit Temerloh. -KESULTANAN PAHANG
