KUANTAN, 17 Mac 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Nuzul Al-Quran kepada seluruh umat Islam, khususnya kepada rakyat negeri Pahang yang dikasihi.
Paduka Baginda berdua bertitah, tanggal ini adalah untuk seluruh umat Islam memperingati peristiwa agung turunnya wahyu pertama dari Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang menjadi petunjuk hidup kepada seluruh umat manusia.
Hari Nuzul Al-Quran bukan sahaja merupakan hari yang bersejarah, tetapi juga satu peringatan bagi kita untuk lebih mendalami dan menghayati kandungan Al-Quran dalam kehidupan seharian.
Semoga melalui pembacaan dan pengamalan Al-Quran, kita dapat memperkukuhkan iman, meningkatkan ketakwaan, serta menegakkan keadilan dan kebaikan di dalam masyarakat.
Marilah kita bersama-sama menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara ini, serta berdoa agar Allah SWT sentiasa memberikan rahmat dan keberkatan kepada kita semua. -KESULTANAN PAHANG