KUANTAN, 1 Jun 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ke-67.
Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa bangga dan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga TUDM, baik yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara, atas dedikasi, keberanian dan semangat juang yang tinggi dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara negara tercinta.
Penghormatan yang setinggi-tingginya turut dizahirkan kepada para perwira TUDM yang telah gugur dalam menjalankan tugas. Jasa dan pengorbanan mereka akan sentiasa dikenang, dan semoga roh mereka dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan para syuhada.
Sejak penubuhannya pada tahun 1958, TUDM telah melalui pelbagai era pembangunan dan transformasi strategik. Keupayaan yang dimiliki hari ini mencerminkan iltizam serta komitmen tinggi setiap anggota dalam memastikan keselamatan ruang udara negara sentiasa terpelihara.
Sempena ulang tahun yang ke-67 ini, Paduka Baginda berdua berdoa agar TUDM terus maju jaya, diperkasa dengan teknologi serta kemahiran yang relevan, dan sentiasa berada di barisan hadapan dalam mempertahankan tanah air demi kedaulatan dan keamanan Malaysia yang kita cintai. -KESULTANAN PAHANG