KUANTAN, 29 Mei 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan Selamat Hari Wartawan kepada seluruh warga media di Malaysia, khususnya kepada para wartawan di negeri Pahang Darul Makmur.
Paduka Baginda berdua amat menghargai sumbangan besar para wartawan yang sentiasa berpegang teguh kepada prinsip kewartawanan yang beretika, berintegriti serta berani menyuarakan kebenaran.
Dalam era ledakan maklumat yang serba pantas ini, peranan wartawan sebagai penyampai maklumat yang sahih, telus dan seimbang amat penting dalam membentuk masyarakat yang celik dan bertanggungjawab.
Paduka Baginda berdua percaya, para wartawan bukan sahaja menjadi mata dan telinga rakyat, tetapi juga sebagai penghubung antara pemerintah dan rakyat dalam menyampaikan suara serta keperluan masyarakat.
Di Pahang, peranan media dalam menyebarkan maklumat pembangunan, pendidikan, kebajikan serta pelbagai penulisan yang membina amatlah dihargai.
Paduka Baginda berdua mendoakan agar semua wartawan terus diberikan kekuatan, kesihatan dan iltizam untuk meneruskan perjuangan suci ini demi kebaikan negeri dan negara. -KESULTANAN PAHANG