KUANTAN, 27 Jun 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dengan penuh takzim menzahirkan ucapan selamat menyambut Maal Hijrah kepada umat Islam di negeri Pahang Darul Makmur dan juga di seluruh negara.
Tahun baharu hijrah merupakan saat yang amat penting dalam sejarah Islam. Ia bukan sekadar peringatan terhadap penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah, tetapi lebih besar daripada itu, ia adalah simbol kepada pengorbanan, ketabahan, dan permulaan kepada perubahan yang lebih baik dalam kehidupan.
Sempena Maal Hijrah ini, Paduka Baginda berdua menyeru seluruh umat Islam untuk bersama-sama merenung kembali perjalanan hidup masing-masing, memperbaiki kekurangan dan memperkukuh azam untuk menjadi insan yang lebih bertakwa, berakhlak mulia serta memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Sesungguhnya, semangat Hijrah bukan hanya bererti berpindah dari satu tempat ke tempat lain, tetapi membawa maksud yang lebih mendalam iaitu perubahan minda, pembaharuan sikap dan peningkatan amal soleh demi mencari keredaan Allah SWT.
Paduka Baginda berdua sentiasa mendoakan agar seluruh rakyat, khususnya umat Islam di negeri ini, diberikan keberkatan, kesihatan, keselamatan serta kekuatan iman dan perpaduan dalam mengharungi cabaran masa kini dan akan datang.
Marilah kita jadikan tahun baharu Hijrah ini sebagai medan untuk memperkukuh ukhuwah Islamiah, mempertingkat ilmu, dan memperkasakan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Salam Maal Hijrah 1447H.
-KESULTANAN PAHANG